Walaupun keyakinan diri adalah kunci kejayaan kepada seseorang tetapi gemuruh berlebihan yang mampu menjejaskan keyakinan diri bukan selalunya sesuatu yang baik. Ini kerana ia boleh menjadi petunjuk kepada seseorang itu mengenai keinginannya yang kuat terhadap sesuatu. Perasaan gemuruh yang ada dalam diri boleh digunakan sebaik mungkin dengan cara ia tidak dibiarkan menguasai diri kerana jika tiada kawalan, ia mampu melemahkan seseorang itu serta merosakkan penampilannya ketika berhadapan orang ramai. Kebiasaannya, perasaan gemuruh lebih mudah menyerang seseorang apabila dia sedang berhadapan dengan sesuatu yang sangat diingininya. Walaupun perasaan berkenaan adalah sesuatu yang normal dan mempunyai fungsi tersendiri dalam kehidupan manusia tetapi ia harus bijak ditangani supaya tidak mendatangkan masalah kepada diri sendiri.
Ada beberapa petanda yang menunjukkan seseorang itu menjadi mangsa kepada perasaan gemuruh sendiri apabila ia gagal mengawalnya dengan baik. Antaranya adalah apabila seseorang itu membuat keputusan rasa gemuruh serta ketakutannya tidak diterima orang lain, sebagai satu masalah hingga membuatkannya gagal berhadapan dengan isu sebenar selain menyekatnya untuk memajukan diri. Petunjuk lain yang memberi tanda seseorang itu dikuasai perasaan gemuruh adalah terlalu risau, sering memikirkan, merendahkan dan mengkritik diri sendiri apabila rasa gemuruh menguasai diri. Selain itu, tanda lain yang menunjukkan seseorang itu terlalu dikuasai perasaan gemuruh adalah sering melawan atau cuba mengawalnya di hadapan orang hingga kadang-kala menyebabkan ia terlupa apa yang perlu diucapkan serta hilang keyakinan diri sehingga tidak sabar pulang ke rumah. Seseorang yang terlalu membiarkan perasaan gemuruh dalam dirinya juga akan menyebabkan otot badannya kejang dan bernafas pendek kerana mahu mengawal rasa gemuruh dalam perasaannya, hingga ia mampu menyebabkan percakapan, pergerakan atau penampilan kelihatan kaku serta kurang sopan. Sering kali juga seseorang yang terlalu gemuruh akan menipu diri sendiri dengan cuba mengalihkan perhatiannya kepada perkara lain supaya ia tidak terlalu mengganggunya tetapi helah itu tidak akan berkesan selamanya. Jika terus membiarkan diri sentiasa berasa gemuruh, dibimbangi ia mampu bertukar menjadi tenaga negatif yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan hingga membawa masalah emosi tidak stabil seperti kemurungan, kerisauan melampau dan panas baran. Tidak kurang juga mereka yang mempunyai masalah gemuruh bersikap seperti bukan diri sendiri sebenar kerana mahu memuaskan hati orang lain selain terlalu mengikut kata-kata orang lain. Perasaan gemuruh bukan sesuatu yang asing kerana hampir setiap orang mengalaminya. Contohnya ketika seseorang itu mahu berkenalan dengan orang yang menarik perhatiannya. Apabila seseorang itu terlalu berfikir mengenai bagaimana ingin berhadapan dengan perkara yang diingininya, keadaan itu akan menyebabkan perasaan gemuruh menjadi berganda berikutan perasaan berdebar-debar.
Ada banyak cara boleh digunakan bagi mengatasi masalah gemuruh antaranya dengan mempunyai pemikiran positif dan tidak memandang rendah keupayaan diri sendiri atau bercakap terlalu pantas supaya orang sekeliling dapat memahami apa yang diucapkan. Selain itu, seseorang itu dinasihatkan tidak menunjukkan perasaan gemuruh melalui perlakuannya kerana keadaan itu akan menyebabkan ia menjadi lebih gemuruh dan apabila bercakap dengan seseorang, sentiasa melihat kepada matanya. Jika tidak mahu perasaan gemuruh menguasai diri, cuba tidak bertanya soalan yang membosankan atau bercakap topik tidak menarik pada orang lain dan paling penting bagi mengatasi masalah gemuruh adalah keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.